IMPLIKASI TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI TERHADAP PELAJAR KOLEJ KOMUNITI KUALA LANGAT (KKKL)
Oleh:
Nurul Su’aidah Binti Ahmad Radzali
Kolej Komuniti Kuala Langat, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia
Teknologi Maklumat (Information Technology) atau IT dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Information and Communication Technology) atau ICT merupakan teknologi yang diperlukan untuk pemprosesan data. Ruang lingkup tajuknya sangat luas, berkenaan segala aspek dalam pengurusan dan pemprosesan maklumat. Secara tepat dan mudah penggunaan komputer dan perisian untuk mengubah, menyimpan, melindungi, memproses, memindah, melihat, dan mendapatkan maklumat tanpa mengira tempat dan waktu.
Dalam meniti arus kemodenan, teknologi maklumat dan komunikasi amat mustahak dalam kalangan masyarakat kini. Terdapat banyak kemajuan dalam teknologi maklumat dan komunikasi, daripada telefon yang besar kepada telefon bimbit yang amat nipis dan banyak kegunaan daripada mencari maklumat di perpustakaan kepada mendapatkan maklumat daripada Internet. Maklumat kini semuanya berada di hujung jari sahaja. Sehubungan dengan itu, jelaslah bahawa terdapat banyak kepentingan teknologi maklumat kepada manusia.
Dalam konteks ini, para pelajar dapat menggunakan Internet untuk membantu pembelajaran mereka. Senario ini dapat dilihat apabila sudah ada banyak laman ‘blog’ yang berkaitan dengan sesuatu subjek mengikut sukatan pembelajaran di kolej komuniti yang memenuhi Internet. Dalam ‘blog’ tersebut, terdapat banyak nota-nota ringkas dan tips yang diberikan untuk memahami sesuatu sukatan pembelajaran. Kebiasaannya, tips-tips ini diberikan sendiri oleh tenaga pengajar kolej komuniti yang ada di seantero Malaysia. Rentetan itu, hal ini akan sedikit sebanyak membantu para pelajar dalam meningkatkan lagi kefahaman mereka terhadap sesuatu subjek yang mereka lemah.
Selain berperanan sebagai alat bantuan mengajar, teknologi maklumat juga berperanan dalam menyalurkan idea serta informasi tambahan kepada para pelajar. Selain cemerlang dalam bidang akademik, para pelajar juga perlu sentiasa mengemaskini isu-isu semasa serta pengetahuan am agar kualiti dan pemikiran pelajar kolej komuniti setanding dengan pelajar-pelajar di institusi pendidikan yang lain. Para pelajar tidak lagi mempunyai alasan tiada wang untuk membeli surat khabar atau majalah kerana semuanya berada dihujung jari di mana sahaja pelajar berada. Sebagai galakan kepada pelajar Kolej Komuniti Kuala Langat (KKKL) untuk celik IT, pihak pengurusan kolej menyediakan akses internet berupa wifi disekitar kawasan kolej. Para pelajar dapat memanfaatkan internet percuma ini dengan sebaiknya sepanjang berada di kawasan kolej.
Aplikasi teknologi maklumat dalam pembelajaran turut diterapkan di dalam kelas melalui subjek Digital Enterpreneurship (DE) yang wajib diambil oleh setiap orang pelajar KKKL. Melalui subjek DE para pelajar didedahkan dengan lebih mendalam dunia perniagaan secara atas talian. Seperti yang diketahui umum, perniagaan atas talian merupakan fenomena yang sedang berkembang naik dan dijangka akan terus mendapat tempat di hati para usahawan dan juga pelanggan. Dalam subjek ini para pelajar didedahkan untuk menggunakan semaksimum mungkin medium media sosial yang boleh digunakan secara percuma untuk mempromosikan produk yang ingin dijual. Hasilnya, terdapat para pelajar yang sudah mempunyai perniagaan sampingan sendiri walaupun belum menamatkan pengajian selaras dengan usaha pihak Kementerian Pendidikan Tinggi yang memberi galakan untuk para pelajar mempunyai perniagaan sendiri dengan cara memberikan diskaun 50% kepada para pelajar yang ingin mendaftar sijil perniagaan.
Dalam zaman yang serba canggih ini, kepentingan IT dalam kalangan pelajar tidak dapat disangkal lagi. Sebagai contoh, terdapat pensyarah yang menggunakan aplikasi atas talian sebagai alat bantu mengajar. Antara aplikasi yang sering digunakan adalah Edmodo. Aplikasi ini boleh digunakan secara percuma di atas talian. Melalui aplikasi Edmodo, para pensyarah dapat berkongsi nota, latihan dan maklumat tambahan kepada semua pelajar kelas berkenaan dengan cepat dan bersistematik. Aplikasi ini juga membenarkan para pensyarah untuk menjalankan kuiz dan ujian secara atas talian dengan fungsi kawalan masa mengikut ketetapan yang telah diselaraskan. Penilaian markah menjadi sangat mudah kerana aplikasi Edmodo turut menyediakan fungsi janaan markah dan gred secara automatik setiap kali kuiz atau ujian berjaya dilaksanakan. Ibu bapa juga mendapat manfaat menerusi aplikasi ini kerana boleh memantau prestasi anak-anak secara atas talian sahaja. Para pensyarah IT KKKL turut menyediakan inisiatif menjalankan kursus tunjuk cara penggunaan Edmodo kepada pensyarah bidang yang lain bagi memberi laluan kepada pelajar program lain untuk sama-sama mengambil peluang kemudahan atas talian yang ada.
Selain kaedah pembelajaran, aspek komunikasi yang berkesan turut memainkan peranan yang penting untuk memastikan proses pembelajaran berlaku dengan lancar. Sudah menjadi budaya masa kini, aplikasi bual atas talian menjadi pilihan para pelajar sebagai medium komunikasi antara sesama pelajar dan juga pensyarah. Aplikasi terbaik yang sangat mudah untuk digunakan adalah Whatsapp dan Telegram. Melalui aplikasi ini, pelajar dapat berhubung dengan para pensyarah bila-bila masa dan di mana sahaja. Sebagai contoh, setiap kelas di KKKL mempunyai kumpulan Whatsapp pelajar yang ditadbir oleh pensyarah kelas atau modul mereka. Aplikasi ini juga dapat menjimatkan masa serta menjadikan penyampaian maklumat belaku dengan pantas dan berkesan. Dilengkapi dengan fungsi boleh lampir, para pensyarah juga boleh berkongsi lampiran seperti surat-menyurat, gambar-gambar aktiviti dan program serta nombor telefon orang berkenaan yang diperlukan oleh para pelajar dengan mudah.
Walaubagaimanapun, kebanjiran teknologi juga boleh mengundang padah sekiranya digunakan tanpa batasan. Penggunaan internet secara berleluasa untuk melayari kandungan yang tidak sopan ataupun menjalankan penipuan secara atas talian adalah dilarang sama sekali. Permainan video atas talian yang melalaikan juga turut memberikan kesan negatif pada pembelajaran dan kesihatan pelajar. Para pelajar seharusnya cekap dalam mengambil peluang serta bijak dalam menangani masalah-masalah yang tidak dikehendaki bagi melahirkan generasi masa kini yang celik dan pintar IT.