Senarai Nota

KEMPEN DERMA DARAH : SETITIS DARAH SELAUT HARAPAN

Oleh:

Nurul Su’aidah Binti Ahmad Radzali
Kolej Komuniti Kuala Langat, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia

Bagi memupuk semangat membantu insan memerlukan, Unit Pembangunan Pelajar Kolej Komuniti Kuala Langat sekali lagi menganjurkan Kempen Derma Darah dengan kerjasama Jabatan Perubatan Transfusi Darah, Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang. Program yang dijalankan buat kali ke-2 bagi tahun 2016 ini memberi peluang kepada semua warga KKKL untuk turut sama menderma darah bagi mereka yang memerlukan. Dengan memegang tema “Setitis Darah Selaut Harapan” program ini telah dijalankan pada 8 Ogos 2016 bertempat di sekitar ruang legar dan Bilik Situasi KKKL.

 

Program yang bermula pada jam 9.00 pagi itu melibatkan 10 orang kakitangan hospital yang berpengalaman dalam mengendalikan kempen derma darah. Sambutan yang amat menggalakan diterima dari para pelajar dan kakitangan kolej seawal program dimulakan. Kempen ini juga turut menjemput agensi luar iaitu pihak Kem PLKN berdekatan untuk turut sama memberi sumbangan.

 

Sebelum para penderma dikelaskan untuk layak menderma darah, mereka perlu mengisi borang tapisan serta menjalani saringan pemeriksaan kesihatan bagi memastikan tidak berlaku sebarang masalah setelah proses derma darah dilakukan. Penderma yang sihat perlulah berumur 18 tahun ke atas dan sela masa 6 bulan dari sebelumnya sewaktu hari kempen tersebut bagi melayakkan untuk menderma darah.

 

Kempen derma darah kali ini turut melakar kejayaan apabila jumlah kutipan melepasi target 30 pin iaitu sebanyak 46 pin. Sebagai tanda penghargaan pihak KKKL juga turut menerima surat dan sijil penghargaan dari pihak hospital.

 

Program kempen derma darah sememangnya memberikan impak positif dari segi kesihatan dan juga pembinaan jati diri warga KKKL. Para penderma dapat menikmati gaya hidup sihat serta mendapat banyak manfaat yang terdapat dalam perkhidmatan hospital kerajaan. Kempen ini juga mendidik para penderma untuk sama-sama membantu insan yang memerlukan serta memupuk rasa syukur dalam diri setiap penderma.

 

“Sikap ingin menderma yang ditunjukkan oleh semua warga KKKL sangat menggembirakan pihak kami. Bagi yang tidak layak menderma diharapkan tidak berasa kecewa serta memastikan kesihatan dijaga dengan lebih baik supaya tubuh badan sentiasa berada dalam keadaan yang optimum.” Menurut salah seorang doktor perubatan yang turut sama menjayakan program berkenaan. Program yang berakhir pada jam 3 petang itu berjalan dengan lancar serta pihak KKKL memberi jaminan bahawa program sebegini akan terus dijalankan sekurang-kurangnya 2 kali setahun bagi memastikan bekalan darah di tabung darah negara mencukupi.

Attachments

KEMPEN DERMA DARAH SETITIS DARAH SELAUT HARAPAN.pdf [120.31Kb]

Uploaded Selasa, 10 Januari 2017 by Super User